Jelajah Pendidikan Bumiputera Bantu 40,000 Pelajar Daftar Bidang TVET

0

Jelajah Pendidikan Bumiputera Bantu 40,000 Pelajar Daftar Bidang TVET

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) – Program Jelajah Pendidikan Bumiputera (JPB) 2016 yakin mampu membantu 40,000 pelajar lepasan menengah yang tercicir untuk menyambung pengajian mereka dalam bidang latihan teknikal dan vokasional (TVET) di pelbagai institusi, Julai ini.

Pengerusi Jawatankuasa Induk JPB Prof Tan Sri Dr Sahol Hamid Abu Bakar berkata program yang bermula sejak Mac lepas itu sehingga kini berjaya menawarkan tempat kepada 32,000 pelajar lepasan menengah di seluruh negara.

“Ada banyak kekosongan di kolej-kolej komuniti dan pusat pengajian TVET dan kita akan cuba isi kekosongan ini,” katanya kepada pemberita di Program JPB 2016 peringkat UMNO Bahagian Wangsa Maju di sini hari ini.

Beliau berkata program yang dicetuskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu telah menjelajah ke 57 kawasan dan telah mengenal pasti hampir 120,000 pelajar lepasan menengah yang boleh meneruskan pengajian mereka dalam bidang teknikal.

Sahol Hamid berkata melalui program JPB, ibu bapa turut diberi penerangan untuk menangkis persepsi bahawa kegagalan anak mereka menyambung pelajaran ke universiti bukan sesuatu yang tidak baik.

Ia berikutan terdapat banyak institusi yang menawarkan pengajian dalam bidang teknikal dan kemahiran yang boleh dijadikan landasan untuk anak mereka menyambung pelajaran, kata Sahol Hamid.

“Persepsi orang kita ialah kalau tak masuk universiti itu tak bagus, ia tanggapan yang salah. Kita kena ubah penetapan minda dan beri peluang anak-anak kita supaya boleh berjaya pada masa akan datang,” tambahnya.

– BERNAMA